Isnin, 11 Jun 2007

CARA PENANAMAN DAN PENJAGAAN BUAH NAGA


Pengenalan

Buah Naga atau umumnya dikenali sebagai Pitaya ialah tanaman baru yang belum diterokai sepenuhnya di negara kita. Di Malaysia, kawasan penanaman buah naga ini sangat kecil berbanding dengan tanaman lain seperti tanaman komoditi yang sememangnya di usahakan secara besar-besaran di Malaysia. Namun demikian, penanaman buah naga mula mendapat perhatian dan sambutan hangat di Malaysia kerana buah ini mengandungi khasiat yang tinggi berbanding buah lain. Buah naga berasal dari negara-negara Amerika Latin iaitu Chile, Argentina, Peru, dan Mexico. Buah ini di bawa ke Vietnam sebagai tanaman hiasan yang kemudiannya ditanam secara besar-besaran setelah mengetahui keenakan buahnya. Kini Vietnam telah menjadi sumber pengeluar dan pengeksport utama dunia untuk buah naga.

Kebaikan Penanaman Buah Naga :

1. Sejenis buah yang tulen dan tidak memerlukan racun serangga.
2. Albumen mengeluarkan toksik dan mengalir keluar lebihan galian.
3. Anthocyanin membebaskan radikal dan melambatkan proses penuaan.
4. Vitamin C mencantikkan dan menyebabkan kulit kelihatan lebih cerah.
5. Pengurangan berat badan kerana buah naga kaya dengan fiber yang mudah larut.
6. Rawatan terhadap penyakit diabetes (kencing manis).
7. Mencegah penyakit kanser usus besar. Mempercepatkan proses pembuangan air besar..

AGRONOMI TANAMAN

Varieti

Buah naga atau nama saintifiknya hylocereus undatus tergolong dalam keluarga Cactaceae atau kaktus. Buah ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu varieti putih (Hylocereus undatus), varieti merah (Hylocereus polyrhizus), dan varieti kuning (Hylocereus megalanthus), namun begitu hanya dua varieti yang sesuai ditanam di Malaysia iaitu varieti putih dan merah. Varieti ini mempunyai sifat tanaman yang berlainan antara satu sama lain. Varieti putih mempunyai batang bewarna hijau putih, bahu yang tinggi dan kasar berbanding dengan varieti merah. Tanaman buah naga termasuk dalam kumpulan jenis kaktus yang mudah tumbuh di kawasan tropika yang mempunyai sistem saliran yang baik.

Tanah

Sesuai dengan tanah berpasir dan tanah loam berpasir yang kaya dengan bahan organik, dan tanah mestilah mempunyai saliran semulajadi yang efisien.
Sifat tanaman dan penanaman
Buah naga mempunyai sifat fisiologi ‘long day plant’. Ini bermakna tanaman ini memerlukan tempoh cahaya matahari yang panjang pada waktu siang. Tumbuhan ini hidup secara menjalar dan memerlukan sokongan untuk tumbuh. Oleh itu ia perlukan para untuk menyokong batangnya yang lembut. Para berfungsi bagi memudahkan batang dan dahannya memanjat dan menjalar. Jenis jarak tanaman yang akan di lakukan adalah 8’ X 10’ yang akan memuatkan 500 batang tiang pada keluasan seekar. Setiap batang tiang konkrit akan ditanam dengan empat batang pokok buah naga ini. Ini bermakna 2000 batang pokok diperlukan pada keluasan seekar.

Bahan tanaman

Pokok buah naga boleh dibiak dengan semaian biji atau keratan batang. Penanaman melalui keratan batang lebih baik kerana bahan tanaman mudah di peroleh dan pokok membesar dengan cepat. Keratan benih tersebut dikeringkan di tempat yang sesuai dan di tanam ke dalam polibag. Keratan boleh juga terus ditanam di ladang sekiranya tapak dan tiang para sudah disediakan. Pokok yang telah ditanam akan menjalar ke atas mengikut tiang. Pokok yang telah ditanam hendaklah diikat pada tiang supaya ia tidak mudah terkulai dan patah. Apabila pokok buah naga sudah membesar dan memenuhi para sokongan, ia hendaklah dijarangkan supaya ia tidak bertindih-tindih. Sulur air (stem) yang memanjang hendaklah dijaga supaya tidak mudah patah

Pembajaan

Sistem tanaman organik, ini adalah kerana pokok ini sesuai di tanam secara organik dan juga permintaan pasaran sekarang yang tinggi terhadap tanaman organik. Baja organik cecair boleh juga di sembur 7 hari sekali dan makin kerap apabila pokok sudah besar. Sulur air (stem) yang keluar hendaklah dibuang supaya pokok utama dapat membesar dengan baik. Pembajaan yang berjadual dan mengikut keperluan pokok perlu diamalkan bagi menjamin pertumbuhan pokok dan buah yang berkualiti dan berterusan.

Penyiraman

Pokok ini secara amnya tidaklah memerlukan air yang banyak. Ini adalah kerana pokok ini jenis pokok kaktus padang pasir yang boleh menyimpan air. Air hanya diperlukan secukupnya pada musim panas. Paip jenis PVC akan dipasang bagi memudahkan kerja penyiraman dilakukan pada musim panas. Secaranya amnya, pokok disiram seminggu sekali, tetapi sekiranya berlaku hujan pada minggu tersebut, pokok tidaklah perlu disiram pada minggu tersebut.

Pembungaan

Pokok buah naga mengeluarkan bunga selepas satu tahun penanaman. Terdapat beberapa peringkat dalam proses pengeluaran bunga iaitu;
1. Peringkat pembungaan
2. Peringkat pembentukan buah
3. Peringkat tumbesaran buah
4. Peringkat matang
5. Penuaian hasil.

Pokok naga akan mula berbunga selepas satu tahun ditanam dan kembang pada waktu malam. Oleh sebab itu, pendebungaan diperlukan untuk proses pendebungaan. Terdapat beberapa cara untuk proses pendebungaan berlaku, antaranya adalah lebah, kupu-kupu, dan semut. Bau bunga yang harum semasa berkembang menarik perhatian serangga ini untuk datang dan memindahkan bunga ke stigma. Cara manual juga boleh dilakukan dengan sendiri selain dari menggunakan serangga.

Pemangkasan

Pemangkasan ialah aktiviti penjagaan yang penting. Dahan yang telah cukup panjang dan dahan yang telah menghasilkan buah perlu dipangkas dan dahan matang yang dipangkas boleh dijadikan keratan untuk bahan tanaman. Panjang keratan dan saiz batang akan mempengaruhi masa pembungaan pada penanaman yang akan datang.
Pengawalan rumpai
Pokok buah naga sangat sensitif pada racun rumpai. Batangnya yang berkulit nipis mudah melecur dan mengelupas apabila terkena racun rumpai. Oleh itu kerja pengawalan rumpai tidak menggunakan sebarang bahan racun atau kimia. Pangkal pokok perlu dibersihkan dengan cermat supaya batang tidak terluka. Pembersihan rumput akan dilakukan dengan mengunakan tangan ataupun mekanikal.

Kawalan perosak

Telah menjadi lumrah alam, setiap tanaman atau tumbuhan mempunyai makhluk perosak dan penyakitnya. Antara makhluk perosak yang biasa menyerang tanaman buah naga ini ialah burung, tupai, tikus dan kelawar. Haiwan ini akan makan buah yang sudah masak. Oleh itu penjagaan yang rapi akan dilakukan supaya buah yang dihasilkan tidak rosak atau busuk dan seterusnya tidak boleh dipasarkan. Antara perosak lain yang menyerang adalah kumbang Xylopetrus, walaupun tahap seranggannya adalah rendah ianya perlu diawasi juga. Lalat buah juga boleh dikawal dengan menggunakan kertas atau jaring pembungkus.

Penyakit

Selain haiwan perosak, penyakit batang reput yang disebabkan oleh bakteria Xanthomonas campestris dan penyakit antraknos turut menyerang tanaman ini. Penyakit antraknos akan menyebabkan batang mudah reput dan memperlihatkan bandal vaskular. Oleh itu bagi menghalang jangkitan dan penyebaran penyakit, kawasan ladang akan sentiasa dibersihkan dan memastikan tiada sebarang kotoran atau tempat bagi makhluk perosak untuk hidup membiak di ladang.

Penuaian hasil

Buah yang masak akan menukar warna kulitnya daripada hijau kepada merah dan mempunyai berat antara 200-600gm keatas dan kemungkinan boleh mencapai lebih sekilogram sebiji. Adalah dijangkakan pada tahun kedua, purata hasil seekar per bulan adalah 300-500 kg. Hasil akan meningkat dua kali ganda pada tahun berikutnya. Melalui penjagaan yang betul, hasil dapat dikeluarkan pada bulan ke-7 selepas di tanam. Mutu buah dinilai dari segi saiz dan berat buah dan juga kemanisannya. Secara amnya cara penggreddan buah yang diguna pakai bagi industri buah naga ketika ini adalah seperti berikut:

GRED BERAT
AA 601 gm ke atas
A 451 gm – 600 gm
B 356 gm – 450 gm
C 350 gm – 250 gm
D 250 gm ke bawah

Kebiasaan bagi saiz buah bagi seekar ialah:

SAIZ PERATUSAN
Atas 700 gm 3 %
500 – 700 gm 12 %
300 – 500 gm 65 %
Kurang dari 300 gm 20 %

Carta peratusan di atas adalah sekadar panduan bagi pengeluaran buah naga bagi seekar. Berat buah ini boleh dikawal dengan menggunakan teknik pembajaan organik yang betul dan pemulihan tanah secara bio-kimia.

Pada ketika ini harga di pasaran bagi buah naga isi merah adalah seperti berikut:

GRED HARGA ( SE KILOGRAM)
AA RM 12.00
A RM 8.00
B RM 6.00
C RM 4.00
D RM 3.00

Produk hiliran

Buah ini boleh diproses menjadi produk makanan seperti aiskrim, jem, jus buah, jeli buah, pudding, pai kaktus, dan lain-lain. Oleh itu produk sampingan yang dihasilkan adalah amat luas. Sekiranya dilihat dari skop keseluruhan, seluruh pokok ini iaitu boleh dimakan mentah dan di proses. Stem boleh dimasak sebagai sayuran dan ulam. Kulit buah naga ini adalah tempat paling banyak kandungan vitamin dan sesuai untuk kosmetik. Bunga daripada pokok ini juga bolah dimasak sebagai sayuran. Oleh itu keseluruhan pokok ini berguna dan sesuai dan selamat dimakan.

DRAGON FRUIT


MASIH ramai rakyat negara ini tidak tahu cara memakan buah ini kerana bentuknya yang ganjil, dengan kulit luar berwarna merah dan mempunyai sayap seperti seekor naga sehingga ia mendapat nama buah naga (dragon fruit).

Jangan ketawa jika ada orang yang memotong kulitnya seperti memakan buah epal, walaupun cara sebenar memakan buah naga ialah dengan memotong dua dan menceduk isinya dengan menggunakan sudu.

Bagaimanapun, di sebalik rupanya yang ganjil, buah naga daripada keluarga ‘cactacea’ yang tergolong dalam spesies kaktus dan semakin mendapat tempat di kalangan petani moden negara ini, sebenarnya kaya dengan khasiat.

Buah naga mempunyai isi seperti buah kiwi. Pada masa ini, buah naga yang isinya berwarna putih lebih mudah didapati di pasaran, tetapi mengikut pakar pemakanan dan
perubatan, buah yang isinya berwarna merah mempunyai lebih banyak khasiat.

Secara amnya, pakar sependapat dan mengakui buah naga kaya dengan potasium, ferum, protein, serat, sodium dan kalsium yang baik untuk kesihatan berbanding buah-buahan lain yang diimport.

Mengikut wakil Johncola Pitaya Food R&D, syarikat penanaman dan penyelidikan buah naga merah terbesar di negara ini, AL Leong, buah kaktus madu itu cukup kaya dengan pelbagai zat vitamin dan mineral yang boleh membantu meningkatkan daya tahan dan mengurangkan metabolisma dalam badan manusia.

“Kajian menunjukkan buah naga merah ini sangat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah. Ia juga memberi tindak balas memberangsangkan untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam darah.

“Kajian juga menunjukkan buah ini boleh mencegah kanser usus, selain mencegah kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah dan pada masa sama menurunkan kadar lemak dalam badan,” katanya.

Secara keseluruhan, setiap buah naga merah mengandungi protein yang mampu mengurangkan metabolisma badan dan menjaga kesihatan jantung; serat (mengawal kanser usus, kencing manis dan diet); karotin (kesihatan mata, menguatkan otak dan menghalang penyakit); kalsium (menguatkan tulang) dan fosferos (pertumbuhan tisu badan).

Buah naga juga mengandungi zat besi untuk menambah darah; vitamin B1 (mengawal kepanasan badan); vitamin B2 (menambah selera); vitamin B3 (menurunkan kadar kolesterol) dan vitamin C (menambah kelicinan, kehalusan kulit serta mencegah jerawat).

Leong berkata, satu lagi fakta menakjubkan ialah berdasarkan kajian terkini, khasiat buah naga tidak terhad kepada buahnya, tetapi turut wujud pada keseluruhan pokok.

Katanya, buah naga juga boleh dijadikan pencuci mulut yang lazat.

“Syarikat kami juga mengeluarkan produk jus, jem, dan wain merah daripada buah ini. Pada masa sama, buah yang belum masak boleh dimasak sup dan dicampur dengan daging, ekor atau tulang,” katanya.

Leong berkata, bunga buah naga pula boleh digoreng sebagai sayuran, dijadikan ulam dan juga boleh dikeringkan untuk dijadikan teh bunga.

“Bunga pokok ini mempunyai kadar debunga yang tinggi kerana tempoh ia mekar penuh terlalu singkat, sekali gus menyebabkan lebah dan serangga lain tidak sempat mengambil debunganya secara penuh berbanding bunga lain yang mekar berbulan-bulan.

“Debunga bunga buah naga juga mempunyai khasiat tinggi dan cukup baik untuk kesihatan manusia,” katanya.


Leong berkata, dahan pokok buah naga juga boleh dijadikan salad, ulam, digoreng dengan sambal belacan dan dimasak sup, yang terbukti berkesan untuk membuang toksik dalam badan dan mencuci perut.

“Di Amerika Selatan, dahan buah naga dihancurkan dan diperam untuk dijadikan makanan ternakan seperti lembu dan kambing. Ia terbukti mampu meningkatkan kadar susu, selain kualiti ternakan berkenaan,” katanya.

Leong berkata, pada masa ini buah naga atau nama saintifiknya ‘Epiphytes’ atau ‘Pitaya’ dan berasal dari Amerika Selatan digemari kaum Cina yang menggelarnya ‘Paw Wang Fa Kor’.

“Kita sekarang cuba mempromosikan buah ini kepada seluruh rakyat Malaysia bukan hanya kerana rasanya yang enak, tetapi juga sangat berkhasiat. Tidak hairanlah harganya mahal.

“Bagaimanapun, kita sekarang cuba menggalakkan lebih ramai orang di negara i
ni menanam buah naga dengan menawarkan insentif menarik, termasuk menjual pokok pada harga murah dan jaminan pembelian semula buah daripada petani,” katanya.

Leong berkata, kelebihan pokok buah naga ialah ia tahan lasak, termasuk tahan serangan serangga, berikutan ia spesies pokok kaktus, menyebabkan racun serangga tidak perlu digunakan ketika penanaman.

“Seperti kita sedia maklum, bahan makanan yang bebas daripada penggunaan racun serangga adalah yang terbaik untuk kesihatan,” katanya.

KEBAIKAN

  • Tingkat daya tahan

  • Kurangkan metabolisma badan

  • Baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah

  • Kurangkan tekanan emosi

  • Neutralkan toksik dalam darah

  • Cegah kanser usus

  • Cegah kandungan kolesterol tinggi

  • Turunkan kadar lemak
  •